Tuesday, July 6, 2010

Menghayati bulan RAmadhan

"Masa itu emas". Satu ungkapan yang seringkali disebut tetapi gagal difahami secara mendalam maknanya bagi kebanyakan orang. Ungkapan ini secara ringkasnya menunjukkan betapa masa itu penting dan perlu dihargai. Ini kerana satu-satu masa yang telah terlepas, tidak mungkin akan kembali semula.
Kita sering mendengar ungkapan 'janji Melayu'. Ungkapan ini sebenarnya memberi makna yang tidak baik kepada orang Melayu yang pastinya adalah seorang Muslim. Ungkapan ini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak menepati janji tetapi dalam masa yang sama ia juga merujuk kepada sikap mengabaikan masa di kalangan Muslim. Ungkapan ini seolah-olah menunjukkan betapa seseorang Muslim itu suka tiba lewat pada satu-satu masa yang telah dijanjikan. Cuba lihat pula di sekeliling kita. Di pejabat, di majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi atau kehadiran di mesyuarat, kerap kali ada sahaja yang tiba lewat. Mereka seolah-olah merasakan bahawa tiba lewat itu satu kelebihan dan tidak langsung rasa bersalah mengabaikan masa yang telah ditetapkan bagi sesuatu majlis itu. Inilah sikap sebahagian besar daripada kita terhadap masa dan sikap ini perlu diubah.

Ketibaan bulan Ramadhan ini sebenarnya, bukan sahaja memberi peluang kepada setiap Muslim untuk meningkatkan ibadah dan membuktikan ketaatan kepada Maha Pencipta tetapi, dalam masa yang sama, bulan ini membuka peluang untuk kita menilai dan seterusnya memperbaiki mutu diri. Dalam hal ini penilaian diri yang ingin dilakukan boleh juga dibuat dari segi penghargaan terhadap masa.

Berkaitan dengan masa ini, beberapa soalan boleh kita ajukan. Sejauhmanakah kita menghargai masa? Sepenting manakah masa itu dalam kehidupan kita? Adakah kita pernah menyesali masa-masa penting yang tidak dapat kita manfaatkan? Adakah kita berasa sedih apabila masa berlalu begitu sahaja? Persoalan-persoalan yang ditanya ini membawa kita kembali mengenang kepentingan menghargai masa dan betapa manusia menghadapi banyak kerugian akibat mangabaikan masa.

Bagaimanakah pula cara kita menghargai masa dalam bulan Ramadhan? Sebelum persoalan ini dijawab, elok juga ditegaskan di sini bahawa sekurang-kurangnya terdapat dua cara manusia menghargai masa. Mereka yang menyedari kepentingan masa akan menggunakannya dengan sebaik mungkin, sama ada di bulan Ramadhan mahupun bulan-bulan yang lainnya. Ketetapan masa untuk bersahur, berbuka dan beribadat di bulan ini dianggap sebagai satu rahmat dalam mengatur perjalanan hidup seorang Muslim. Bukan itu sahaja, masa-masa untuk menjalankan kegiatan lain seperti masa bersama keluarga, bekerja dan bermasyarakat juga digunakan sebaik mungkin kerana semestinya bulan Ramadhan ini bukan sahaja satu bulan untuk meningkatkan keimanan tetapi juga masa untuk memperbaiki hubungan sesama manusia. Pendek kata, bagi insan begini, bulan Ramadhan adalah masa yang tepat untuk memperbaiki lagi apa yang sudah menjadi kebiasaan baginya.

Berbeza pula dengan manusia yang tidak tahu menghargai masa. Ketetapan masa yang diperuntukan dalam bulan Ramadhan ini dirasakan begitu menyiksakan. Perlu bangun awal pagi untuk bersahur dan tanpa tidur lagi, perlu pula bersiap ke tempat kerja. Rasa mengantuk dan keletihan terbawa-bawa di tempat kerja dan ini mempengaruhi perasaan (mood) seseorang. Perasaan terganggu itu pula memberi kesan dalam perhubungan sesama manusia apabila kata-kata manis dan baik tidak mampu diucap dan hanya senyum pudar yang mampu dilontarkan. Dipendekkan cerita, aturan masa yang ditetapkan di bulan Ramadhan ini dirasakan begitu mencabar dan menyiksakan.

Begitulah penggunaan masa di kalangan manusia berbeza di dunia ini. Walaupun terdapat berbagai cara manusia menggunakan masa namun penggunaan masa dengan cara yang betul dan bijak adalah sangat dituntut. Apatah lagi di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, penggunaan masa sebaik mungkin amat penting kerana bulan yang penuh keberkatan ini menjanjikan pelbagai faedah. Jika tidak dimanfaatkan masa yang ada dengan kegiatan yang bermakna maka terlepaslah segala keuntungan yang telah dijanjikan untuk seluruh masyarakat Muslim.

Oleh itu, masa yang ada di bulan Ramadhan ini hendaklah digunakan dengan sebijak mungkin. Kebijaksaan ini meliputi kemampuan untuk mengatur segala kegiatan yang hendak dilakukan di bulan ini. Rancanglah masa-masa untuk bermunajat, menilai diri, masa untuk berfikir tentang ciptaan-Nya dan masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat. Matlamat perancangan adalah untuk melihat setiap kegiatan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan seterusnya bermanfaat dalam kehidupan diri dan insan di sekeliling kita.

Penerangan-penerangan yang disebutkan di atas menunjukkan betapa masa itu perlu dihargai dan dihayati kepentingannya. Ketetapan untuk melakukan sesuatu perkara pada sesuatu masa tertentu di dalam bulan Ramadhan ini seharusnya diterima baik sebagai satu kaedah untuk mendidik diri setiap Muslim. Kerap kali kita mendengar bahawa bulan Ramadhan adalah satu bulan yang penuh dengan unsur pendidikan. Pendidikan ini meliputi pendidikan keimanan, persaudaraan sesama Muslim, penjagaan kesihatan, menghargai masa dan sebagainya. Oleh itu, sewajarnya kita menggunakan kelebihan bulan ini untuk mendidik diri dan insan yang kita kasihi. Pengajaran yang telah kita perolehi itu pula hendaklah berterusan, bukan hanya 'hangat' di bulan yang mulia ini.

Akhir kata, bagi menghayati kepentingan masa, maka hayatilah pepatah Arab ini yang menyebut bahawa "Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu". Oleh itu, berilah perhatian kepada penjagaan masa dan jangan izinkan diri kita ditewaskan oleh masa kerana ini hanya merugikan diri. Dan ingatlah sesungguhnya orang beriman itu sentiasa menghayati dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.